Tuesday 13 December 2011

Panduan Menjawab Bahan Rangsangan Bahagian C


Pengenalan
Calon diminta untuk membuat rumusan berdasarkan bahan yang diberikan dalam bahagian ini. Calon ada diberikan rangsangan atau situasi dalam bentuk petikan, puisi, rencana dan sebagainya. Calon diminta untuk membuat rumusan dalam lingkungan 50 perkataan.
Perkara yang perlu dicari daripada petikan ialah seperti Nilai Murni, Amalan Baik, Faedah dan juga Pengajaran daripada rangsangan atau situasi yang diberikan tadi.

Langkah-langkah yang dicadangkan ialah:
1. Baca dan fahami kehendak atau arahan soalan
- Baca soalan dengan teliti dan fahami arahannya.
- Arahan meminta anda menulis beberapa nilai atau pengajaran berdasarkan petikan yang diberi.
- Jawapan itu hendaklah ditulis dalam satu perenggan.

2. Mencatat nilai murni atau pengajaran
- Baca dan fahami kandungan petikan.
- Catat seberapa banyak nilai murni / pengajaran yang terdapat dalam petikan.
- Dicadangkan anda mencari dan mencatat sekurang-kurangnya lima nilai murni / pengajaran.
- Masa yang dicadangkan untuk mencari dan mencatat nilai murni ini sekitar lima minit.

3. Menulis ayat lengkap
- Berdasarkan nilai murni / pengajaran, tulis dan nyatakan keterangan lanjut tentang nilai murni / pengajaran dengan menggunakan ayat sendiri.
- Sebaiknya setiap nilai murni / pengajaran itu disertakan contoh.
- Hendaklah ditulis dalam satu perenggan.
- Masa yang dicadangkan untuk mengarang ialah 10 minit.

4. Menyemak
- Setelah siap, baca dan pastikan ayat yang digunakan lengkap dan mengikut strukturnya.
- Semak juga aspek tatabahasanya.
- Masa yang dicadangkan untuk menyemak ialah 5 minit.

Panduan Menjawab Bahagian C

- Baca arahan dan petikan yang diberi dengan teliti
- Gariskan perkataan / rangkai kata / ayat yang menunjukkan nilai murni, amalan baik, faedah atau pengajaran.
- Tulis semula nilai murni / amalan baik dengan membefri contoh ayat yang terdapat dalam petikan.
- Tulis pengajaran atau rumusan tentang petikan.
- Semak semula dengan teliti untuk memastikan tiada kesalahan ejaan, tanda baca, struktur ayat dan imbuhan yang digunakan.

Contoh Soalan dan jawapan:
Latihan 1: Baca arahan dan soalan dengan teliti.
Tulis beberapa nilai murni/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Apabila balik dari sekolah, Liza mengeluarkan buku-buku barunya dari beg. Kakaknya berkata, “Biar kak tolong kamu balut buku-buku kamu itu.” Liza menjawab, “Terima kasih, kak. Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini.”Liza merupakan anak yang suka menolong ibu dan ahli keluarganya yang lain. Liza selalu menolong ibunya mencuci pinggan mangkuk, melipat kain dan mengemas rumah. Liza juga membantu ayahnya mencuci kereta. Setiap pagi sebelum mandi , dia akan mengemas bilik tidurnya supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri. Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaiannya.Pada hari minggu, Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.

LANGKAH 2:
Gariskan perkataan / rangkai kata / ayat yang menunjukkan amalan baik, nilai murni , faedah atau pengajaran.

Apabila balik dari sekolah, Liza mengeluarkan buku-buku (kerajinan) barunya dari beg. Kakaknya berkata, “ Biar kak tolong kamu balut buku-buku kamu itu.” Liza menjawab, “Terima kasih, kak. Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini.”(berdikari) Liza merupakan anak yang suka menolong ibu (tolong-menolong) dan ahli keluarganya yang lain. Liza selalu menolong ibunya mencuci pinggan mangkuk, melipat kain dan mengemas rumah. Liza juga membantu ayahnya (tolong-menolong) mencuci kereta. Setiap pagi sebelum mandi , dia akan mengemas bilik tidurnya supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri.(kebersihan fizikal dan mental) Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong (berdisiplin) dan dia sentiasa menjaga kebersihan pakaiannya. Pada hari minggu, Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah (bekerjasama) dan menanam pokok-pokok bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga di halaman rumahnya. Menanam pokok bunga merupakan hobi keluarga mereka. Kawasan tempat tinggal mereka sentiasa kelihatan bersih dan cantik.

LANGKAH 3:
Tulis semula nilai murni / amalan baik dengan memberi contoh ayat yang terdapat di dalam petikan.

- Liza mengeluarkan buku-buku barunya dari beg (kerajinan)
- Biar saya sendiri yang membalut buku-buku ini (berdikari)
- Suka menolong ibu. membantu ayahnya mencuci kereta (tolong- menolong)
- Menjaga kebersihan diri (kebersihan fizikal)
- Rambutnya diikat kemas, kukunya dipotong (berdisiplin)
- Liza dan keluarganya selalu bersama-sama membersihkan rumah (bekerjasama)

LANGKAH 4:
Tulis semula maklumat yang disusun dalam bentuk perenggan.

            Liza seorang budak yang baik. Sikapnya yang rajin menolong ahli keluarganya patut kita contohi. Dia juga sentiasa berdikari kerana tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain, malah dia sendiri yang melakukannya. Banyak kerja rumah yang telah dilakukannya tanpa suruhan sesiapa. Dia juga tidak suka pada keadaan yang kotor dan tidak teratur. Dia sentiasa menjaga kebersihan diri. Dia mengemas bilik tidurnya dengan rapi apabila bangun dari tidur. Rambutnya diikat kemas dan kukunya yang dipotong rapi menunjukkan dia seorang yang berdisiplin. Pada hari minggu, Liza dan keluarganya bekerjasama membersihkan rumah. Rumah mereka yang sentiasa bersih dan ceria membuatkan jiran-jirannya menyukai mereka sekeluarga.


No comments:

Post a Comment